oleh Noor Azam Shairi
TIDAK mengapalah kalau saya tidak duduk di Green Point Stadium di Cape Town malam itu, biarpun sempat juga melihat rangkanya semasa ia sedang rancak dibina tiga tahun lalu.
Perlawanan ini adalah yang terakhir di stadium itu sebelum bulan temasya bola sepak ini meninggalkan kita, dan kita berdoa semoga panjang umur sehingga dapat pula bertemu lagi dengan bulan Piala Dunia empat tahun akan datang.
Tidak mengapalah kalau saya tidak berada di Afrika Selatan bersama para peminat bola sepak dari serata dunia macam Kubhaer T. Jethwani yang berpakaian macam ahli gusti, menyaksikan Brazil kalah dengan Belanda di Port Elizabeth.
Malam itu, biarpun duduk di sebuah restoran Sepanyol di Bangsar, saya rasa macam berdiri di tepi padang di Green Point Stadium.
Inilah kemuncak pengalaman menonton siaran langsung Piala Dunia 2010 – dalam format 3D.
Don’t jealous!
Inilah gamaknya rasa duduk di dalam Green Point Stadium pada malam itu.
Agaknya begitulah, sebab waktu wisel permulaan ditiup dan pemain-pemain berlari ke sana ke mari di tengah padang mengejar bola, saya tiba-tiba teringat waktu berdiri di tepi padang Sekolah Rendah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar melihat Shankar Ramu ligat menggelecek bola.
Masa itu dia masih Darjah 5 atau Darjah 6, saya tidak berapa ingat. Cuma saya ingat betul, dia masih pemain harapan pasukan bolasepak sekolah kami – juga pasukan hoki – sampailah takdir Tuhan kemudian menentukan setelah besar, dia memilih untuk bermain hoki dan terpilih mewakili negara sampai ke Olimpik 1992 di Barcelona dan Olimpik 1996 di Atlanta.
Saya bukannya nak bongkak atau nak riak – tak baik, Tuhan marah. Tapi malam itu, kami yang berada di restoran Sepanyol di Bangsar itu merupakan antara 50 orang pertama di Asia Tenggara yang menyaksikan siaran langsung bolasepak Piala Dunia 2010 dalam format 3D.
Singapura pun kalah!
Don’t jelaous!
Itulah malam yang cukup bersejarah. Itulah malam kemuncak kenikmatan menonton bola sepak pada malam-malam terakhir dalam bulan temasya Piala Dunia 2010 yang gilang-gemilang ini.
Betul-betul kami rasakan, kamilah sebahagian daripada insan terpilih yang diberi rezeki menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2010 ini dengan satu pengalaman baru.
Pemain-pemain yang berada di tengah padang itu nampak timbul. Jarak mereka antara satu sama lain nampak sangat jelas. Dari sebuah kamera yang diletakkan di bucu stadium, nampak timbul bendera jalur putih biru yang dikibarkan oleh seorang penyokong Uruguay.
Saya sempat mengintai dua skrin televisyen nipis HD yang diletakkan di luar ruang kami menonton. Eh, gambarnya tak sama. Dalam siaran 3D, nampak pemain berebut bola dari sisi padang. Dalam siaran HD, aksinya sama juga tapi dilihat dari sudut berbeza dari pandangan atas dengan wide angle.
Ini satu production yang sama sekali berbeza dengan siaran langsung yang penonton lain saksikan di seluruh negara pada malam itu. Set kameranya juga tidak sama. Kebanyakan kamera yang digunakan untuk siaran 3D ini diletakkan pada paras padang menjadikan kita menyaksikan perlawanan itu bagaikan duduk di belakang bangku pemain simpanan Uruguay dan Belanda.
Dalam siaran 3D juga tidak banyak paparan aksi kelompok penyokong Oranje yang terkinja-kinja melompat kegembiraan selepas Belanda mendahului 2-1 dan kemudian 3-1 dalam masa tiga minit berselang. Kalau ada pun reaksi penonton, hanya Putera Mahkota Willem-Alexander dan Puteri Mahkota Maxima yang hadir memberikan sokongan moral.
Selepas lapan kali musim Piala Dunia FIFA sejak Espana ‘82, pengalaman menonton kejohanan bolasepak dunia terhebat ini bagi kita di sini memang sudah cukup berbeza. Sebelum Piala Dunia 1982, rakyat Malaysia hanya dapat menonton siaran langsung terpilih – sekarang pun sama juga, terutamanya kalau tidak melanggan Astro.
Tetapi Piala Dunia 1982 itu adalah kemenangan rakyat yang digerakkan oleh akhbar The Malay Mail biarpun pasukan negara yang menjadi antara pasukan pilihan Asia ketika itu, gagal layak ke Sepanyol.
Pasukan tahun 1981 yang diketuai oleh Soh Chin Aun aka Towkay dan dibarisi oleh Mokhtar Dahari aka Super Mokh yang dipanggil kembali menyarung jersi serta James Wong aka King James, Hassan Sani aka Lipas Kudung, Santokh Singh, Bakri Ibni dan lain-lain itu adalah legenda yang sampai sekarang dikenang – secebis kenangan masa silam yang tidak mungkin diulang kembali.
Sejak Piala Dunia 1986, rakyat Malaysia dapat menyaksikan siaran langsung penuh semua perlawanan sampailah sekarang. Sejak 2006, ia disiarkan melalui Astro yang juga membawa pelbagai kejohanan liga bolasepak dari serata Eropah.
Pengalaman kita menonton bolasepak berubah; pendedahan kita kepada permainan yang bermutu bertambah. Gaya hidup kita juga berubah sampaikan temu janji malam minggu disusun mengikut jadual permainan di Old Trafford, Santiago Bernabeu atau Amsterdam Arena.
Tetapi tahap bolasepak negara ini masih macam itu juga.
Belanda lwn Uruguay,Related posts:
- Brazil lwn Belanda oleh Noor Azam Shairi ~~~ Belum pernah sebelum itu Kuala (Kangsar) kecoh segamat ini – kecohnya sampai ke seluruh Perak...
- Belanda lwn Cameroon oleh Zulhabri Supian ~~~ Kita di Malaysia yang menyokong Inggeris dengan rasa patriotik tinggi mengalahkan patriotisme terhadap negara sendiri dan...
- Belanda lwn Jepun oleh Radzi Tajuddin ~~~ ANTARA MENTALITI NICCOLO MACHIAVELLI, KLCC DAN DUA KUASA PENJAJAH...
- [JSO] Jerman lwn Uruguay oleh Jimadie Shah Othman ~~~ Hanya satu cara bagi mengalahkan kuasa judi bola sepak sedunia... ramalan yang tepat....
- Ghana lwn Uruguay oleh Hafiz Hamzah ~~~ Saya bertinggung awalnya di bahagian belakang menghadap skrin sebelum ada suara manja menyapa. ‘Ais krim percuma...

One Comment
Ahh makan hati !!!