Nasi Dalca lwn Nasi Kandar

oleh Noor Azam Shairi

HUJAN baru saja berhenti waktu saya tiba di Restoran Kassim Mustafa di bucu simpang tiga dekat Asian Heritage Row di tengah Kuala Lumpur. Selepas 58 perlawanan sepanjang 19 malam berturut-turut, malam tadi tak ada siaran langsung Piala Dunia 2010 tapi kedai nasi kandar itu penuh sesak juga – tak ada meja kosong – kecuali meja yang disusun di bahu jalan.

Piala Dunia 2010 berhenti rehat tapi dalam sebulan bola sepak yang mulia ini yang masuk 10 malam terakhir, orang tetap cergas menghidupkan dua pertiga malam di kedai mamak.

“Kasi lap sikit, uncle,” kata saya sambil berdiri di tepi satu meja.

Meja dengan empat kerusi serba biru itu penuh titik-titik air. Semua kerusinya pun sama.

“Tak payahlah duduk luar, duduk dalam. Nanti hujan you susah,” kata uncle itu, macam pegawai Jabatan Kaji Cuaca.

“Saya mahu duduk luar, dalam mana ada tempat.”

“Sana boleh duduk, duduk sana,” kata uncle itu lagi macam polis bercakap dengan orang kena tahan sebab ikut perhimpunan haram.

Saya tak mahu duduk kongsi meja sebab tunggu kawan tetapi saya pun tak mahu bising-bising lawan cakap dia.

Saya berdiri tepi kaunter tetapi tak perlu tunggu lama sebab ada seorang awek sudah angkat tangan panggil kira. Belum sempat saya duduk, empat orang lelaki di meja tepi paling dekat dengan bahagian depan kedai bangun pergi kaunter nak bayar.

Ini betul-betul macam tunggu bas RapidKL – masa kita nak, tak ada; bila dah ada, banyak pula.

Saya duduk dan order sup ayam sama teh O ais laici. Televisyen skrin rata yang diletak tinggi masih juga pasang saluran khas Piala Dunia 2010 tetapi hampir tak ada orang yang tengok. Rata-ratanya semua duduk makan atau bersembang.

Di meja belakang saya, wah, sembangnya kencang – bisnes bunyi juta-juta. Macam Jason Bourne, saya pasang telinga sambil cicah roti dengan sup ayam. Macam-macam saya dengar tapi tak bolehlah nak cerita di sini – strategi bisnes orang. Harap-harapnya tiga mamat Melayu itu tak semata-mata bergantung kepada kontrak kerajaan dan berniaga sekerat jalan.

Di meja tepi tiang sebelah meja tempat saya duduk, lain pula riuhnya. Mamat yang kuat suaranya itu maknya mungkin Melayu ayah Mat Saleh atau ayahnya mungkin Melayu mak orang putih. Bunyinya macam dia baru balik luar negara. Dia pakai topi – nampak style macam Raja Petra — duduk di tengah enam kawannya yang tersengih-sengih dengar dia bercerita.

Saya sudu sup sampai habis tapi kawan tak sampai lagi. Dia budak Penang, dan dialah selalu kawankan saya pergi kedai nasi kandar.

Saya ada lagi seorang kawan – budak Cina – tapi dia kalau ajak saya makan, mesti nak pergi kedai Arab. Malam tadi pun waktu nak keluar pejabat, dia ajak saya dinner di Kampung Baru.

Hairan juga, macamana boleh ada restoran Arab di Kampung Baru? Tak ada orang marah pula, agaknya Arab tak mengapa – asal jangan Cina. Atau sebenarnya Arab pun Melayu juga.

Saya terfikir kalau orang ajak pergi kedai mamak, kadang-kadang mereka sebut: “Jom, mamak-ing!” Tapi budak Cina itu ajak saya ke restoran Arab, tidak pula dia cakap: “Jom, Arab-ing”?

Saya tak sempat tanya kawan saya budak Cina itu. Cuma saya sempat tanya dia: “Bro, malam ini nak buat apa? Bola tak ada game?”

“Apa lagi, goyang telurlah!” Jawab dia sambil ketawa.

Dalam hati saya, pandai juga budak Cina ini bercakap pakai simpulan bahasa, walaupun perkataan itu tak ada dalam Kamus Dewan.

Sambil tunggu kawan sampai, saya check Twitter. netrakl macam orang lain tak ada tuit pasal Piala Dunia tapi sibuk tuit pasal Wimbledon 2010 – Roger Federer jadi sushi dibuat oleh Tomas Berdych. Tiga empat orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tuit tentang taklimat cadangan program tenaga nuklear oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Bekas Speaker Dewan Undang Negeri Perak, sama macam malam-malam lain – ada match, tak ada match, sama – sibuk ke sana ke mari. Malam tadi dia tuit: “meeting with DAP branch leaders to decide on a new campaign.

Televisyen sudah habis tunjuk highlights Piala Dunia, sekarang ada ulangan Amerika Syarikat lawan Ghana. Adalah seorang dua tengok, mungkin sebab belum tengok lagi – yang lain-lain, macam tadi juga: Kalau tak bersembang, makan. Kalau tak makan, bersembang.

Kawan saya pun datang. Saya tahu dia belum makan lagi; itu sebab saya ajak dia datang. Kami bukan dating walaupun waktu saya taip perkataan datang dalam dua ayat tadi spellchecker English sudah tukar datang jadi dating.

Dia order nasi dalca tapi sebelum makan sempat dia merungut: “Apalah jual nasi dalca tak ada kari kambing?”

Televisyen skrin rata masih lagi tunjuk highlights Piala Dunia tetapi hampir tak ada yang tengok. Semuanya sibuk buat dua perkara: Kalau tak makan, bersembang; kalau tak bersembang, makan.

Saya tunggu kawan habis makan.

Kemudian kami duduk bersembang.

Habis bersembang, kami pergi urut kaki di Bukit Bintang.

Habis urut kaki, dia balik. Saya jalan lagi.

Saya singgah di satu lagi kedai makan 24 jam yang lain. Nasi kandar juga. Dalam bulan bola sepak yang mulia ini, waktu-waktu macam itu selalunya ada satu lagi siaran langsung. Tetapi malam tadi yang ada hanya ulangan Jepun lawan Paraguay.

Rasanya cuma dua mamat ini saja yang tengok bola, yang lain sibuk – kalau tak makan, bersembang; kalau tak bersembang, makan.

Saya hirup kosong gelas teh tarik dan kemudian pergi kaunter bayar.

“Ini malam kurang orang, ya?” Tanya saya sambil hulur duit.

“Sama. Tak ada bola pun sama. Ini ramai yang baru balik clubbing,” kata mamak muda itu sebelum pulang duit baki.

Iya, tak iya juga. Dua tiga bulan lepas waktu kecoh satu Malaya pasal budak 15 tahun mati kena tembakan polis, riuh pasal tiga benda ini: budaya makan malam, budak-budak keluar malam dan kedai makan 24 jam.

Tapi itu dua tiga bulan lepas.

VN:F [1.9.2_1090]
Rating: 8.8/10 (13 votes cast)
Nasi Dalca lwn Nasi Kandar, 8.8 out of 10 based on 13 ratings
  • Share/Bookmark

Related posts:

  1. Brazil lwn Belanda oleh Noor Azam Shairi ~~~ Belum pernah sebelum itu Kuala (Kangsar) kecoh segamat ini – kecohnya sampai ke seluruh Perak...
  2. England lwn Jerman oleh Noor Azam Shairi ~~~ Sukan memang ada menyumbang kepada keghairahan seks...
  3. Belanda lwn Uruguay oleh Noor Azam Shairi ~~~ Inilah kemuncak pengalaman menonton siaran langsung Piala Dunia 2010 – dalam format 3D. Don’t jealous!...
  4. Afrika Selatan lwn Mexico oleh Pipiyapong ~~~ "Gua cuma harap main sedap. Hantar bola cun. Percubaan bertalu-talu. Permainan laju. Gol bergaya dan kamera tunjuk...
  5. Jepun lwn Paraguay oleh Hafiz Chan ~~~ Padan muka penjajah! Memula England, kali-ni Jepun. Harap-harap Portugal pun sama lepas ni....

2 Comments

  1. Farah Farhana
    Posted July 1, 2010 at 6:51 pm | #

    Nice one.

  2. meesh
    Posted July 2, 2010 at 7:41 am | #

    Baca artikel ni kat negara orang = MACAM NAK MATI. Air liur dah nak meleleh-leleh ni.

Post a Comment

Your email is never published nor shared. Required fields are marked *

*
*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>