Ghana lwn Uruguay

oleh Hafiz Hamzah

Kuala Pilah. Walaupun  musim Piala Dunia 2010, saya tak fikir pekan kecil ini akan hidup di malam-malam hari. Tetap sama, kekal dengan nyawa klasik. Lorong-lorong antara bangunan lama rumah kedai malap, suram-sepi suasana tanpa ada gangguan pendengaran melampau dan ketenangan yang memang sukar diperoleh di Kuala Lumpur ada di Kuala Pilah.

Kali terakhir saya di sana, saya gagal untuk menonton semua perlawanan malam itu. Korea Selatan ketika menang menentang Greece untuk peringkat kumpulan saya dapat tahu ketika mencuri dengar sembang-sembang orang kampung. Tak ada satu skrin besar kelihatan – sekurang-kurangnya bagi jalan-jalan yang saya lorongi ditengah pekan ketika itu – yang mampu membuatkan saya memaksa diri untuk menjenguk sebentar. Tak ada.

Dan, kalau sekali kamu tiba di Rembang Panas diwaktu malam, mustahil kamu akan keluar lagi. Terutamanya ketika sedang diselubung gelap gelita. Apa lagi kalau setakat nak ke pekan untuk menonton bola.

Kampung ini jauh lagi ke dalam, jauh melepasi kampung-kampung lain di pinggir jalan besar. Tak ada lampu yang menerangi bahu jalan. Beberapa kilometer di depan, ada kawasan perkuburan Islam. Sepanjang laluan itu juga bersepah rumah-rumah lama dan rumah tinggal yang selalu memanggil-manggil. Ketika tiba disimpang kecil menuju rumah tempat saya bersinggahan selalu itu, kamu akan terperasan satu perkara yang bagi ramai orang agak merimaskan; tiada lagi isyarat telefon bimbit. Tak ada. Yang menggunakan Celcom, mungkin ada sedikit sisa-sisa isyarat teknologi itu untuk kamu menghantar SMS terakhir.

Di rumah malam itu, saya tewas lagi. Tak dapat menonton TV perlawanan Argentina menentang Nigeria. Ada sesosok ‘toyol’ jadi perantara. Toyol yang cukup aneh. Dia hanya berminat dengan alat kawalan jauh Astro dan akan melampiaskan nafsunya terhadap saluran-saluran kartun, walaupun sudah jauh malam dan dia juga semacam sudah boleh menghafal plot dan dialog kebanyakannya. Kalau tak silap, sekitar usia enam atau tujuh tahun. Dan sudahnya saya hanya mampu menonton ekor perlawanan sahaja.

Atas alasan untuk menikmati getar rasa yang aneh sebegini, tentunya yang hanya hadir ketika saya kemarukkan aksi Piala Dunia, rancangan awalnya adalah untuk pulang lagi ke Kuala Pilah dan mencuba nasib lagi mencari tempat siaran dengan skrin rentang malam tadi. Paling tidak, tonton saja dirumah – dengan harapan tak ada toyol  kecil itu. Tetapi hasrat itu terpaksa juga ditanam dalam-dalam dan dibunuh terus; kali ini oleh ‘kuasa perempuan’. “Saya nak sapu sampah dan tak larat nak kemas bilik di kampung pagi-pagi buta.” Itu adalah ayat penamat kepada impian kecil malam itu.

*

Untuk Ghana dan Uruguay, enjin kereta dihidupkan. Otak berpusing dan mata berpinau mencari arah. Kuala Lumpur tak riuh. Jalan Bangsar lenggang. Cuma Dataran Merdeka punya semangat lain.

Saya berjalan seorang, melepasi tembok-tembok yang dihuni oleh mat rempit, mencelah-celah antara pasangan berkencan; ada juga yang sedang asyik bercumbu. Ambien sekitar kawasan ini saya rasakan menarik. Skrin gergasi siap untuk menayangkan perlawanan suku akhir kedua itu. Orang ramai terpecah-pecah berkelompok di antara rumput padang dan lantai-lantai konkret sekeliling. Bagi beberapa orang yang saya syak homeless, ini mungkin nikmat paling besar dalam hidup mereka. Lengkap dengan kotak dan kain gebur, mereka terlentang tengah padang, bergelimpangan dalam senyuman. Kerana untuk period ini, di Dataran Merdeka, mereka tidak berseorangan dan rasa terpinggir. Ramai orang-orang lain hadir sama untuk berkongsi kegembiraan mereka yang tak seberapa – atas nama Piala Dunia, di depan layar yang sama dan berbumbungkan langit berembun dini hari.

Saya bertinggung awalnya di bahagian belakang menghadap skrin sebelum ada suara manja menyapa. ‘Ais krim percuma untuk awak…’ Seorang gadis genit tiba-tiba muncul. Saya mendongak dan memandang dengan penuh hairan dia yang berjersi kuning ala pasukan Malaysia untuk beberapa ketika. Kerana, saya tak fikir dengan suara manja sebegitu, yang entah pasal apa menawarkan ais krim di awal pagi berembun itu satu perkara yang bagus. Untuk beberapa detik ketika itu, saya merasakan gadis berkenaan seolah-olah memberi isyarat dan mesej berbaur pelawaan berasmara. Ais-krim-percuma-untuk-awak ketika saya sedang bertinggung dan punggung belum mencecah rumput. Apa yang kamu fikirkan?

Tetapi, oleh kerana saya masih di dalam mood meraikan kekalahan Brazil, tidak ada rangsangan lain yang terbit kecuali terhadap skrin di hadapan. Saya terima ais krim perisa anggur yang dihulur dengan balas ucap terima kasih. Dia tersenyum dan beredar. Saya masih di situ. (Brazil memang wajar kalah, kerana permainan mereka sudah tak ada gelek-gelek samba yang mengghairahkan).

*

Saya memang memilih Uruguay untuk menang mengatasi Ghana. Tetapi rupa-rupanya tak mudah. Gol Ghana ketika mendahului membuatkan saya bangun dan berpindah-pindah tempat.

Saya sedang membuka balut berger ayam Ramly ketika Fucile jatuh tersembam ke tanah dan tak bergerak selepas berlaga. Saya fikir dia terus mati. Ketika itu saya menyedari sesuatu. Untuk menyaksikan insiden seperti itu berlaku, tambah pula dengan skrin gergasi dan siaran dalam format HD, ia bukanlah satu pengalaman yang menyenangkan. Imej dia terjatuh, yang diulang-ulang dari pelbagai sudut pandangan menimbulkan rasa ngeri. Impak imejan itu terus lekat di kotak ingatan saya.

Satu lagi momen yang saya nikmati ialah ketika perlawanan berlangsung dalam masa tambahan. Suarez ‘Si Tupai’ memang klasik. Saya tak mampu berhenti berdekah seorang diri – walaupun dalam perasaan cemas – ketika dia dibuang padang. Cara dia menampar bola untuk tidak memberikan gol yang mungkin menjadi mata kemenangan yang dicari Ghana itu tak akan berulang lagi dalam Piala Dunia 2010. Tetapi percaturan dia berhasil. Mat Ghana Gyan tak mampu menembus gawang dengan tendangan penalti.

Oh, tentang Gyan. Selepas melihat reaksi dia yang gagal menendang masuk bola yang terkena palang itu, saya semakin kuat tidak menyukai pemain ini. Saya teringat kembali wawancara di  kaca TV selepas Ghana menewaskan Slovakia ketika ‘pusingan 16’. Dia bercakap dengan nada yang angkuh, mengisyaratkan bahawa mereka adalah Afrika dan kali ini Afrika adalah tuhan di Piala Dunia. Bila dia tetap mendongak muka selepas gagal penalti itu – yang juga merupakan tendangan terakhir masa tambahan – saya mengharapkan Ghana punah.

*

Dataran Merdeka pagi itu tak seperti hari-hari biasa yang dilaluinya. Menonton bola, dengan skrin gergasi sebegitu ada nikmat tersendiri. Lebih seronok tentunya mereka yang datang berkumpulan dan bukan seorang-seorang seperti saya. Melalak pekik dan menyumpah seranah di tengah padang itu juga tak membuatkan saya rasa bersalah.

Berbeza jika menonton dirumah. Mahu menjeritkan ‘GOL’ saja perlu ditahan-tahan. Apa lagi kalau nak memaki hamun. Biasa terjadi kepada saya, akan adalah suara marah-marah yang memaki saya semula dengan jeritan maha kuat dan pecah anak tekak dari tinkat-tingkat kediaman lain. Tipsnya, tengok bola dengan lampu terpadam, dengan harapan sukar dikesan kalau ada yang tak berpuas hati.

Tetapi tidak pagi ini. Mungkin lebih ramai boleh merancang untuk berselerak di padang Dataran Merdeka untuk baki perlawanan-perlawanan Piala Dunia 2010, terutamanya untuk perlawanan akhir nanti. Bawa khemah takut hujan, atau paling kurang boleh saja berpiknik dengan tikar mengkuang dan sandwic ditengah kota kala malam menjerat pagi.

Mungkin, kalau boleh – DBKL harap beri perhatian – teruskan fungsi wayang pacak ini kepada tayangan filem-filem yang bagus untuk warga Kuala Lumpur, misalnya. Malam minggu. Tersadai tergolek ditengah padang. Ditemani tayangan-tayangan lain yang lebih dramatik dan mengiurkan selain bola sepak. Beruntunglah Kuala Lumpur kalau ada hati orang-orang yang  terbuka untuk menganjurkan perkara-perkara seperti itu.

VN:F [1.9.2_1090]
Rating: 8.8/10 (5 votes cast)
Ghana lwn Uruguay, 8.8 out of 10 based on 5 ratings
  • Share/Bookmark

Related posts:

  1. Korea Selatan lwn Uruguay oleh Syafiq Sunny ~~~ Pemilihan tembikai adalah simbolik kepada semangat kenegeraan...
  2. Ghana vs Uruguay by Yasmin Masidi ~~~ Football cannot take the place of votes and mass movements, though it can be part of...
  3. [JSO] Jerman lwn Uruguay oleh Jimadie Shah Othman ~~~ Hanya satu cara bagi mengalahkan kuasa judi bola sepak sedunia... ramalan yang tepat....
  4. Belanda lwn Uruguay oleh Noor Azam Shairi ~~~ Inilah kemuncak pengalaman menonton siaran langsung Piala Dunia 2010 – dalam format 3D. Don’t jealous!...
  5. Amerika Syarikat lwn Ghana oleh Ruhayat X ~~~ Kolonialis yang tak ada stail takkan dapat menawan hati aku...

One Comment

  1. wargadunia
    Posted July 3, 2010 at 3:09 pm | #

    Dalam menilai perlawanan bola sepak, bukan setakat melihat bagaimana cantiknya perlawanan tersebut. Sentimen lain juga turut diambil kira apabila mahu memberi sokongan kepada mana-mana pasukan. Ada kawan bertanya, ” Awat sokong JEPUN?”. Jawapan mudah diberi kerana JEPUN merupakan pasukan yang sangat rajin. Namun jauh daripada itu, kerana JEPUN merupakan pasukan ASIA. JEPUN juga sudah dekat di hati kerana membesar dengan menonton ANIME daripada negara matahari terbit itu. Apabila memperkatakan tentang pasukan yang perlu kalah cepat,ENGLAND pilihan pertama. Terlalu diberi publisiti seolah-olah mereka adalah selibriti. Mungkin layak menyertai PESTA MEDIA IDOLA sahaja.

Post a Comment

Your email is never published nor shared. Required fields are marked *

*
*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>