[JSO] Jerman lwn Uruguay

oleh Jimadie Shah Othman

Hanya satu cara bagi mengalahkan kuasa judi bola sepak sedunia. Ia lebih berkesan daripada ‘demonstrasi tak nak judi’ di Masjid Negara awal Julai lalu: ramalan yang tepat.

Dengan keupayaan manusia menjangkakan keputusan perlawan, semua penjudi berpeluang meraih keuntungan berlipat kali ganda, sekali gus menyebabkan kapitalis judi dan taikun-taikun besar gulung tikar.

Bayangkan setiap yang berjudi pasti menang dan mendapat bahagian daripada ‘pelaburannya’. Alangkah bagusnya.

Awal pagi tadi, Jerman menepati ramalan apabila berjaya merangkul tempat ketiga dalam Piala Dunia 2010.

Perlawanan di Stadium Nelson Mandela Bay itu menyaksikan pasukan dengan barisan pemain muda paling banyak itu mengecewakan Uruguay dengan jaringan tipis 3-2.

Paul Si Sotong (Paul the Octopus) – dengan 85 peratus ketepatan ramalan – masih selamat daripada disembelih, disiat-siat dan digoreng tepung.

2

Rizal, teman lama saya – tidak pasti sama ada beliau menonton bola – kali terakhir kami bertemu, beliau masih makan kerang, masih berjudi dan masih menang secara kecil-kecilan.

Tetapi bagi laki-laki daripada Gombak itu, cukup untuknya judi empat nombor yang dibeli di kedai Sport Toto.

Daripadanya saya mengerti pelbagai perkara, khususnya bagaimana keputusan nombor ekor diramal.

Rizal menceritakan kepada saya pelbagai kaedah, meliputi yang saintifik dan yang tahyul-mahyul.

Beliau cuba kedua-duanya, termasuklah menggunakan perisian ramalam komputer, menyimpan rekod keputusan nombor ekor selama15 tahun dan menurun atau ‘puja nombor’ di kubur Cina.

Tetapi Rizal masih makan kerang. Mungkin tidak sanggup kehilangan nikmat itu. Mungkin sampai hari ini.

3

Juruteknik komputer itu, ketika ghairah, ia bercerita sampai habis tanpa rasa berdosa.

“Cari sepuluh kulit kerang, tabur dalam takungan air. Catatnya berapa kulit yang terbuka. Buat empat kali sampai dapat empat angka. Pasti kena.

Tetapi nombor itu kena ‘pusing’ dulu,” kata Rizal.

“Syaratkan, kau tidak boleh makan kerang seumur hidup. Itu perjanjian antara kita dengan dia.”

Saya percaya.

Sepanjang Piala Dunia kali ini, mungkin ada yang membaling cengkerang binatang laut itu dan melupakan kerang rebus sampai bila-bila.

4

Kami menonton di Skudai malam tadi. Setiap kali melihat ramai apek Cina sudah sedia menunggu di kedai mamak sejak jam 2 pagi lagi, saya bersangka buruk. Saya memang bersangka buruk.

Saya teringat kata-kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media di Kuala Terengganu selepas merasmikan perhimpunan kontroversi “Melayu Bangkit”.

Beliau antaranya menyifatkan “orang Cina memang suka berjudi”, justeru judi sukan tidak boleh dielak daripada diperkenalkan.

“Orang Islam jangan berjudilah. Kalau dia pergi berjudi, tangkaplah. Sama juga (bila) orang Islam tidak makan babi. Kalau orang bukan Islam hendak makan juga, itu hak dialah,” Dr Mahathir dipetik sebagai berkata.

Malam tadi saya berdosa. Saya mengesyaki orang-orang Cina di kedai mamak itu bukan menonton bola, tetapi berjudi.

(Cina-cina tua itu tidak menjerit pun setiap kali gol menerjah jaring atau melintas palang! Gayanya macam penganalisis di bursa saham saja.)

Dan seperti biasa, bagi saya dan Ichi, di kedai tepi jalan itu, bola sepak hanyalah perlawanan sukan yang tidak memberikan faedah kewangan kepada kami.

Siapa yang menang ataupun kalah, segelas teh tarik, rokok kotak besar dan telur separuh masak dua biji itu tetap kami bayar sendiri.

5

Lebih 2,000 tahun lalu, sebelum Nabi Isa lahir lagi, Orang Cina sudah pandai bermain bola. Bola sepak – digelar Cuju – ketika itu merupakan sukan negara.

Bintang Cuju pada ketika itu mendapat populariti setaraf dengan apa yang dimiliki pemain sekarang – seperti pemain tengah Sami Khedira yang menjaringkan gol kemenangan Jerman pada minit ke-82 awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Cuju pastinya bukan semata-mata sukan untuk menyihatkan badan. Cuju dimainkan supaya bangsawan Cina dapat berjudi.

Maknanya, boleh sepak itu sendiri lahir dari rahim yang sama dengan judi. Seperti Adam dan Hawa. Atau barangkali menurut Dr Mahathir, seperti orang Cina dan judi.

Jangan kata saya rasis, ya. Saya takut masuk ISA.

6

Kan dari awal lagi saya sudah tinggalkan pesanan di laman blog mikor Twitter:

“NGO antijudi patut lamar Sotong Paul jadi maskot. Ramalan tepatnya buat taukeh judi muflis.”

VN:F [1.9.2_1090]
Rating: 8.8/10 (11 votes cast)
[JSO] Jerman lwn Uruguay, 8.8 out of 10 based on 11 ratings
  • Share/Bookmark

Related posts:

  1. (HC) Jerman lwn Uruguay oleh Hafiz Chan ~~~ "Enjin jet kita, haritu kan hilang. Tapi last-last jumpa kat Uruguay. Sebab tu kita patut support...
  2. Paraguay lwn Sepanyol oleh Jimadie Shah Othman ~~~ “Muktamar PAS hari pertama ditangguhkan awal bagi memberi laluan kepada (perlawanan pembukaan) Piala Dunia. Kah,...
  3. Argentina lwn Jerman oleh Ruhayat X ~~~ "Mak, saya nak dijajah oleh Jerman boleh?" Mak saya mengangguk sambil tersenyum dengan penuh kefahaman....
  4. England lwn Jerman oleh Noor Azam Shairi ~~~ Sukan memang ada menyumbang kepada keghairahan seks...
  5. Korea Selatan lwn Uruguay oleh Syafiq Sunny ~~~ Pemilihan tembikai adalah simbolik kepada semangat kenegeraan...

2 Comments

  1. Hafiz Ismail
    Posted July 12, 2010 at 5:24 am | #

    tapi timnas china ga ada di piala dunia

  2. Jeffrey Loh
    Posted July 12, 2010 at 5:25 am | #

    lama-kelamaan Cina makin bertamadun terutamanya mulai Dinasti Han, orang-orang Cina mulai pakai jubah, ada kemungkinan kemudiannya mereka menganggap permainan bola sepak itu kasar.

Post a Comment

Your email is never published nor shared. Required fields are marked *

*
*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>