Paraguay lwn Sepanyol

oleh Jimadie Shah Othman

Saya paksa diri untuk berjegil lebih 90 minit di tengah-tengah pagi buta bagi menyaksikan kekalahan pasukan Sepanyol.

Di sebuah restoren mamak di Puchong Utama, sambil menunggu seorang teman wartawan – kaki bola dan penyokong Sepanyol – saya memulakan debaran dengan pesanan tweet:

“Bangun untuk tengok Spain bungkus dengan kuasa judi sukan sedunia seperti Argentina.”

Pesanan gagal mendapat sebarang reaksi, kecuali pada keesokan harinya. Tetapi andaian saya salah.

Saya bangun padi tadi dan mendapati satu tweet balas yang menyakitkan hari daripada seorang bekas pustakawan.

“@jimadieshah2 #Esp membungkus #Arg membungkus,” balas K Pragalath, lelaki India budiman daripada Kajang.

Bagaimanapun, sebaris dialog itu buat saya kembali terfikir, adakah kuasa judi bola sepak sedunia sebenarnya bukanlah apa-apa pun?

Saya tidak mendapat jawapan bagi persoalan itu.

2

Pada 11 Jun, saya dan beberapa teman wartawan berada di Kelantan bagi membuat liputan muktamar agung PAS ke-56.

Menonton perlawanan bola sepak bukanlah agenda dan sebahagian daripada misi kami di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, sehinggalah seorang sarjana Eropah yang kini bertugas di Singapura sempat berseloroh:

“Muktamar PAS hari pertama ditangguhkan awal bagi memberi laluan kepada (perlawanan pembukaan) Piala Dunia. Kah, kah, kah!”

Ya, kami ke restoren Arab dekat-dekat Jalan Bayan di Kota Bharu pada malam itu.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pun bersemangat melencong daripada menghadiri persembahan nasyid di Pusat Tarbiyyah Kelantan (PUTIK) bagi menghabiskan masa dan menyertai kami – yang digelarnya rakan-rakan media baru.

Malam itu Mexico bertemu Afrika Selan – berjersi hijau kuning seperti warna pakaian pasukan Kedah.

Afrika Selatan bolos dulu. Dan Mahfuz sempat kami sindir.

Sorry, Kedah kena dulu, Datuk!”

Dia tertawa. Kami tertawa. Nasi Arab kambing mandi habis dibelasah.

3

Dalam pertemuan sosial itu, Mahfuz hadir dengan gaya santai. Berkemeja-T dan berseluar track – berbeza dengan penampilan garangnya di parlimen.

Ahli parlimen Pokok Sena itu sempat memberitahu kami tentang rancangannya menganjurkan demonstrasi anti-judi sukan di Kuala Lumpur.

Ia sepatutnya dilangsungkan semalam (ya, ia berjaya) dengan sasaran sekurang-kurangnya 100,000 orang turun ke jalan raya dan menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi mendesak pembatalan judi sukan kepada syarikat Ascot, milik hartawan Vincent Tan.

Mahfuz membuat pendedahan awal, Radhi Mat Din, bintang bola dan kapten paling lama pasukan Kedah akan hadir. 

Ribuan manusia akan memakai pakaikan bola sepak, menjadikannya demonstrasi paling berwarna-warni pernah diadakan di Malaysia.

Tetapi kerajaan akhirnya memutuskan tidak perlu judi jenis itu diperkenalkan. Dan angka peserta demonstrasi semalam menyusut seratus kali ganda kepada hanya 1,000 orang di Masjid Negara.

“Ya untuk sukan, tidak untuk judi,” sorak mereka diselang-seli laungngan takbir.

4

Pada malam berikutnya, juga di Kota Bharu, Radhi – lagenda Kedah itu benar-benar tampil atas pentas ceramah buat kali pertama.

Berbanding penceramah lain yang berserban dan berjubah, beliau hanya berkemeja-t biru tua, berseluar track dan berkasut sukan.

Walaup sekadar membaca teks yang disediakan awal, ceramahnya malam itu tetap memberikan ucapan yang paling berkesan.

Bola sepak pada zaman saja musnah kerana rasuah yang berpunca daripada aktiviti perjudian. 

Dan perjudian sama ada halal atau haram tetap memberikan kesan yang negatif,” begitu kira-kira Radzi memberitahu.

Ketegasan itu diulang-ulang lagi kepada pemberita yang menemuinya di belakang pentas.

5

Memasuki peringkat kalah-mati, semua pasukan handalan pulang hampa. Ini termasuklah penyandang-penyandang juara Brazil, Perancis dan Argentina.

Pasukan-pasukan itu perlu kalah supaya agen pertaruhan mendapat keuntungan berkali ganda – keuntungan yang dinikmati daripada harapan penjudi yang punah dan pecah.

Daripada satu segi, hipotesis Radhi ada asasnya. Judi akan memberakkan rasuah dan rasuah akan memberakkan manupulasi.

Ya, dalam perlawanan malam tadi, sukar betul bagi Sepanyol menjaringkan gol. Penalti dua kali pun tak masuk. 

Ia buat saya sangat yakin bahawa pasukan itu pasti tewas dengan sungguh memalukan, seperti Argentina yang dianjingkan empat gol berbalas kosong pada perlawanan sebelumnya.

Tetapi pagi buta tadi. Tanggapan ini terbukti salah. Mungkin disebabkan bola itu bulat dan padang itu empat segi. Mungkin juga faktor selainnya.

Fazallah Pit, ketua pemberita di TV Selangor puas hati. Saya bayar harga untuk empat gelas teh yang kami minum. Dan kami tidak berjudi.

Sepanyol mengalahkan Paraguay 1-0 dengan semangat kesukanan yang menyala-nyala. Api yang tak mampu dipadamkan oleh dosa-dosa judi.

VN:F [1.9.2_1090]
Rating: 9.0/10 (26 votes cast)
Paraguay lwn Sepanyol, 9.0 out of 10 based on 26 ratings
  • Share/Bookmark

Related posts:

  1. [JSO] Jerman lwn Uruguay oleh Jimadie Shah Othman ~~~ Hanya satu cara bagi mengalahkan kuasa judi bola sepak sedunia... ramalan yang tepat....
  2. Portugal lwn Sepanyol oleh Radzi Tajuddin ~~~ Towkey Judi: Siapa menang pun tak kisah. Gua tetap untung....
  3. Korea Selatan lwn Uruguay oleh Syafiq Sunny ~~~ Pemilihan tembikai adalah simbolik kepada semangat kenegeraan...
  4. Jepun lwn Paraguay oleh Hafiz Chan ~~~ Padan muka penjajah! Memula England, kali-ni Jepun. Harap-harap Portugal pun sama lepas ni....
  5. Brazil lwn Belanda oleh Noor Azam Shairi ~~~ Belum pernah sebelum itu Kuala (Kangsar) kecoh segamat ini – kecohnya sampai ke seluruh Perak...

One Comment

  1. Posted July 12, 2010 at 6:38 pm | #

    Sepanyol mengalahkan Paraguay 1-0 dengan semangat kesukanan yang menyala-nyala. Api yang tak mampu dipadamkan oleh dosa-dosa judi.

    SAYA SUKA AYAT PENUTUP KAMU. TERIMA KASIH.

Post a Comment

Your email is never published nor shared. Required fields are marked *

*
*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>